SELANGOR

LZS: Agihan zakat hanya untuk umat Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam sahaja dan menafikan ia disalurkan kepada agama lain.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, LZS tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik, sebaliknya memberi fokus menyantuni asnaf di Selangor dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Katanya, berhubung isu tular yang tersebar baru-baru ini mengenai Motto: Manfaat Zakat Untuk Semua, terdapat kekeliruan berkaitan perkara itu dan ia adalah pekeliling dalaman untuk warga kerja LZS sahaja.

“Bagi 2019, LZS mengubah motto lama iaitu ‘Meneraju Perubahan’ kepada ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang membawa maksud luas, menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususukan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati oleh semua masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial. Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

“Skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak. Ia meliputi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Basith berkata, LZS sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat, di Selangor.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Selangor.

“LZS mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh umat Islam terutama di Selangor yang prihatin berkenaan perkembangan LZS serta sentiasa memberi pandangan yang membina untuk kemajuan ummah,” katanya.


Pengarang :