AGAMASELANGOR

LZS peruntuk RM10 juta bantu golongan pertengahan

SHAH ALAM, 16 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan kira-kira RM10.1 juta bagi bantuan persekolahan dan bantuan melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi buat anak-anak dari golongan isi rumah pertengahan tahun hadapan.

Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata bantuan bagi golongan asnaf fisabilillah itu terbuka kepada mereka yang bermastautin di Selangor dan berpendapatan seisi rumah melebihi daripada Haddul Kifayah dengan julat lebihan tidak melebihi jumlah maksimum RM3,000 dan ia boleh dipohon secara dalam talian.

“Bagi bantuan persekolahan tarikh tutupnya adalah 10 Feb 2019 dan bagi bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT tarikh tutupnya pula adalah 31 Jan hadapan.

“Bagi bantuan persekolahan, LZS memperuntukan RM7 juta dan bagi bantuan IPT pula RM3.1 juta, tarikh tutup permohonan mungkin awal jika semua peruntukkan ini habis disalurkan, dan bantuan akan disalurkan dalam masa 14 hari selepas permohonan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas Program Zakat Street On Wheels di Bazar Larut Malam (Uptown) Shah Alam di Seksyen 24 di sini malam tadi.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat zakat dengan cara mudah selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter LZS bagi menunaikan Rukun Islam itu.

LZS sebelum ini memperuntukkan lebih RM30 juta kepada lebih 60,000 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan bagi sesi 2019.

Tambah Abdul Basith, kaunter LZS akan beroperasi setiap hari dalam bulan ini bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat.

“Untuk bulan ini, LZS menyasarkan kutipan zakat kira-kira RM200 juta kerana berdasarkan unjuran untuk perbelanjaan bagi menyantuni asnaf pada tahun hadapan, LZS memerlukan kira-kira RM900 juta, buat masa ini LZS berjaya mengumpul kira-kira RM600 juta,” katanya.

Di majlis berkenaan LZS turut menyampaikan pelbagai bantuan zakat berjumlah RM320,198 kepada enam individu terpilih dan sumbangan zakat RM50,000 kepada KAFA Integrasi An-Najahiyah Seksyen 19 di sini bagi tujuan baik pulih.

Seramai 29 peniaga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di bazar berkenaan pada 12 Nov lepas turut menerima sumbangan bernilai RM1,000 tiap seorang daripada LZS.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :