SELANGOR

Mahasiswa UiTM jaya khidmat masyarakat bersama kanak-kanak Syria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 26 DIS: Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melalui Pusat Ko Kurikulum menjalankan program khidmat masyarakat bersama lebih 40 kanak-kanak Syria, di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Program kemasyarakatan ‘A Day With Syrian Kids’ yang mendapat kerjasama badan kemanusiaan Suspended Meal itu dianjurkan sempena Hari Kesukarelawan Dunia 2018.

Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab berkata, program terbabit bertujuan mendekatkan belia, khususnya mahasiswa dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran bahawa inisatif membantu masyarakat tidak seharusnya tertumpu kepada komuniti setempat sahaja.

“Dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, ia harus melangkaui semua kaum, bangsa dan tumpuan tidak hanya kepada golongan penduduk tempatan sahaja.

“Kami melaksanakan tanggungjawab sosial ini tidak hanya tertakluk kepada rakyat di negara ini sahaja, sebaliknya melangkaui pelbagai komuniti memerlukan termasuk anak Syria ini yang disifatkan sebagai asnaf,” katanya.

Shafezah yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM berkata, program itu memberi pendidikan dan peralatan muzik, penyediaan makanan serta sumbangan kewangan untuk pembangunan sekolah.

Katanya, ia diusahakan sukarelawan terdiri daripada pelajar ko kurikulum Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Fakulti Muzik dan Fakulti Sukan & Rekreasi, selain turut mendapat sumbangan juga tajaan orang ramai.


Pengarang :