NASIONAL

Majlis Makan Malam Amal PAKATAN kutip RM1.665 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 10 DIS: Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan (PAKATAN) yang diadakan malam tadi berjaya meraih kutipan RM1.665 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kutipan itu diperolehi melalui penjualan 156 meja yang disediakan, pada majlis berkenaan.

“Kutipan ini akan disalurkan terus ke dana PAKATAN untuk membiayai aktiviti konsesus itu.

“Majlis kutipan dana seperti ini dibuat secara telus dan terbuka kepada orang awam boleh mengelakkan mana-mana pihak mengharapkan laba sebagai balasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sanggup menyumbang kepada dana PAKATAN.

Katanya, turut tidak dilupakan jasa reformis yang berkorban wang dan tenaga, sejak 20 tahun lalu.

Majlis yang dihadiri lebih 1,500 hadirin itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah; Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Pengarang :