AGAMAKENYATAAN MEDIA

Maklum balas LZS berkaitan pekeliling dalaman LZS

SHAH ALAM, 30 Disember 2018 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan tular pekeliling LZS di media sosial dan whatsapp.

LZS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh umat Islam terutama di Selangor yang prihatin berkenaan perkembangan LZS serta sentiasa memberi pandangan yang membina untuk kemajuan ummah.

Untuk makluman, pekeliling berkaitan motto baru LZS yang sedang tular pada masa ini adalah pekeliling DALAMAN untuk warga kerja LZS sahaja.

LZS menegaskan bahawa pengagihan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam sahaja dan menafikan ia akan disalurkan kepada agama lain. Skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak. Ia meliputi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60.

Berhubung tular yang tersebar baru-baru ini, berkenaan “Motto: Manfaat Zakat Untuk Semua”, terdapat kekeliruan mengenai perkara ini. Bagi tahun 2019, LZS telah mengubah motto lama iaitu “Meneraju Perubahan” kepada motto baru iaitu “Manfaat Zakat Untuk Semua”.

Motto ini membawa maksud yang sangat luas. Ia menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi MANFAATNYA dinikmati oleh semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial. Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

Sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara. Dengan maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, akan bermanfaatlah setiap rakyat di dalamnya tanpa mengira bangsa atau agama.

Misalnya, seorang mahasiswa asnaf dibiayai dengan wang zakat dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi seorang doktor pakar, maka manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pesakit tanpa mengira status, bangsa atau agama.

Sekali lagi ditegaskan, LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

LZS juga sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor.

Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

KENYATAAN OLEH

Abdul Basith Hamid
Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge)
Lembaga Zakat Selangor


Pengarang :