SELANGOR

Maklumat lengkap lapor keganasan ada di ‘Sticker’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Pelekat (Sticker) yang dilancarkan sempena kempen #DengarlahSuaraKami mempunyai maklumat lengkap yang diperlukan mangsa keganasan untuk mendapatkan bantuan.

Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, melalui pelekat itu, mangsa keganasan dapat keluar daripada kitaran keganasan dengan bantuan daripada organisasi, mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat kaunseling, maklumat undang-undang dan rumah perlindungan.

Katanya, teori kognitif sosial diketengahkan iaitu mangsa perlu dilengkapi dengan maklumat secukupnya seterusnya mendorong mereka bertindak mendapatkan bantuan.

“Organisasi dan NGO yang berkaitan juga sudah dihubungi dan bersetuju talian mereka dimasukkan sebagai maklumat pada ‘sticker’ yang diedarkan.

“Justeru, kerjasama dan keprihatinan pemilik bangunan dan premis sangat diharapkan untuk menempatkan ‘sticker’ ini, di lokasi strategik awam yang ada di premis masing-masing seperti tandas wanita, lif dan papan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami yang mengangkat tema #HearMeToo, di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa berkata, kempen berkenaan menyasarkan supaya lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan yang disediakan secara percuma.

“Ini memudahkan akses maklumat kepada mangsa atau masyarakat yang mengetahui mengenai mangsa di sekeliling mereka.

“Malah, IWB Selangor akan terus memainkan peranan dalam usaha memastikan wanita, di negeri ini dapat hidup dengan aman dan sentosa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa seluruh masyarakat, khususnya di Selangor supaya lebih peka dan terus melaporkan segala insiden keganasan kepada pihak berkuasa, jika mendapat maklumat berhubung isu itu.


Pengarang :