EKONOMINASIONAL

Malaysia alami peningkatan tertinggi dalam kedudukan tadbir urus korporat

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Malaysia menduduki tangga keempat daripada 12 ekonomi Asia Pasifik dari segi kebertanggungjawapan pasaran dan ketelusan, menurut Laporan 2018 CG Watch yang diterbitkan Asian Corporate Governance Association (ACGA) dan CLSA.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kedudukan itu adalah peningkatan daripada tempat ketujuh pada 2016 dan Malaysia mengalami peningkatan tertinggi bagi 2018 dalam kalangan pesaing serantau termasuk Australia, China, Hong Kong, Jepun dan Singapura.

“Peningkatan itu membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menerapkan nilai cekap, kebertanggungjawapan dan telus dalam pentadbiran sedang membuahkan hasil.

“ACGA menerangkan, peningkatan pada 2018 mencerminkan langkah konkrit diambil untuk menyelesaikan isu korupsi yang timbul sewaktu rejim Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan dwitahunan CG Watch menyebut bahawa, peningkatan itu adalah berdasarkan keyakinan terhadap perubahan politik di Malaysia pada 9 Mei 2018, yang dapat dijelaskan sebagai penambahbaikan penguatkuasaan dan pelaporan

Selain langkah anti korupsi yang dilaksanakan, Lim berkata, kerajaan memastikan tender terbuka dijalankan secara meluas dalam proses pemerolehannya.

“Ini bukan sahaja meningkatkan tahap ketelusan dalam sektor awam, tetapi juga memberi kesan positif kepada pasaran tempatan.

“Penggunaan belanjawan berasaskan sifar (zero-based budgeting) dan migrasi ke perakaunan akruan daripada perakaunan tunai bermula pada 2021 seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan institusi kerajaan untuk meningkatkan lagi paras kebertanggungjawapan dan ketelusan dalam sektor awam,” kata Lim.

Kata Lim, peningkatan kedudukan Malaysia dalam laporan berkenaan adalah satu daripada beberapa contoh bagaimana kualiti tadbir urus di Malaysia sedang ditambah baik menyumbang kepada kemampan fiskal kerajaan.

“Usaha pembaharuan institusi dilaksanakan kerajaan meyakinkan tiga agensi penarafan kredit terbesar dunia untuk mengekalkan taraf kredit kerajaan Malaysia pada A- atau A3.

“Kerajaan akan meneruskan usaha pembaharuan institusi bagi mengelakkan salah guna kuasa yang lampau daripada berulang sambil meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :