GLOBAL

Mangsa korban tsunami Selat Sunda meningkat

JAKARTA, 24 DIS: Jumlah kematian mangsa dalam kejadian di Selat Sunda, Sabtu lalu terus mencatat peningkatan kepada 281 orang.

Setakat tengahari ini, data sementara dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) merekodkan 281 orang meninggal dunia, 1,016 (cedera) dan 57 yang lain dilaporkan hilang.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB Sutopo Purwo Nugroho berkata, seramai 11,687 penduduk di kawasan terbabit juga ditempatkan di pusat pusat pemindahan sementara.

“Jumlah mangsa terkorban dan kerosakan harta benda dikhuatiri terus meningkat berikutan pasukan mencari dan menyelamat kini mula memasuki kawasan terjejas teruk akibat tsunami itu,” katanya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata tsunami berlaku jam 9.27 malam Sabtu itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci berhubung punca berlakunya tsunami itu.

Ia berlaku akibat pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :