SELANGOR

MB: Had waktu operasi pusat hiburan akan dibincangkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri akan berbincang dan mempertimbangkan cadangan untuk menghadkan waktu operasi pusat hiburan sehingga jam 1 pagi berdasarkan keperluan setempat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudn Shari berkata, sebelum ini waktu operasi sudah dihadkan sehingga jam 3 pagi dan kebiasaanya pusat hiburan jauh daripada kawasan perumahan.

“Di Shah Alam tidak mempunyai kesan kerana tidak mempunyai pusat hiburan. Jika sudah menjadi dasar nasional, kita akan lihat keutamaan.

“Sebelum ini dihadkan sehingga jam 3 pagi. Secara asasnya kawasan itu jauh daripada penduduk.

“Kita akan lihat kesusaian dan itu adalah bidang kuasa di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita akan menilai semula polisi tersebut sama ada sesuai atau tidak dan ia berdasarkan kepada kesusaian kawasan.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat EXCO sama ada minggu hadapan atau dua minggu akan datang,” katanya ketika ditemui media pada Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata semua pusat hiburan di Kuala Lumpur perlu menamatkan operasi pada jam 1 pagi berkuat kuasa Januari 2019.

Bagaimanapun, hanya beberapa pusat hiburan sahaja yang mempunyai lesen dan kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi berdasarkan beberapa faktor.

 


Pengarang :