SELANGOR

MB: Kata putus perbincangan isu kuil diketahui dua minggu lagi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Keputusan daripada hasil pertemuan Kerajaan Negeri bersama pihak terbabit dalam kemelut isu Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, dijangka akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengadakan beberapa perbincangan secara tertutup dan ia berlaku dalam keadaan positif.

“Sudah ada dua atau tiga pertemuan berlaku dan sangat positif.

“Satu atau dua minggu lagi daripada hasil perbincangan ini, saya belum dapat (result) keputusan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dan memanggil pemaju One City Development Sdn Bhd serta penguruan kuil selewat-lewatnya, pada esok hari.

Katanya, perbincangan itu bagi mencari jalan penyelesaian dan kata putus berhubung isu terbabit.

“Perbincangan dibuat dalam dua bentuk, sama ada secara bersama atau berasingan dan diketuai oleh saya sendiri,” katanya.


Pengarang :