OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 1 DIS : Kejayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu, sepatutnya dirakamkan melalui karya seni bagi membolehkan detik bersejarah itu dikenang anak bangsa.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penghasilan karya melalui cerpen, sajak, lukisan dan juga esei membolehkannya menjadi rujukan pada masa depan.
“Saya percaya bukan sahaja rakyat Malaysia menantikan tulisan yang baik mengenai peristiwa itu tetapi juga masyarakat dunia seluruhnya, justeru saya menggesa kepada seniman untuk menyahut cabaran ini.
“Sudah tentu apa saya maksudkan bukanlah tulisan bersifat propaganda untuk menyokong kerajaan sedia ada sebaliknya apa diperlukan adalah analisa yang memberikan konteks dan perspektif terhadap perubahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Hari Sastera Selangor 2018 di Galeri Shah Alam di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari dan Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Eddie Khodzali.
Sementara itu Abdul Rashid berkata, anugerah Hadiah Sastera Selangor 2018 mampu memartabatkan aktiviti kesusasteraan dan kebudayaan sekali gus melahirkan golongan masyarakat pemikir.
Katanya, anugerah itu juga menjadi pendorong kepada penggiat sastera meningkatkan mutu karya masing-masing.
“Saya harap dengan adanya karya mereka, sama ada dalam bentuk cerpen, buku, novel dan lain-lain dihasilkan akan menambah pengetahuan rakyat Selangor khasnya di segi kebudayaan,” katanya.