SELANGOR

MB: Terus bina Selangor kekal aman dan sentosa

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya dan pentadbiran negeri akan memastikan rakyat berbilang kaum terus hidup secara aman dan sentosa.

Beliau berkata Kerajaan Selangor tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang anasir yang mahu menggugat ketenteraman dan keamanan dikecapi rakyat.

“Patik dan pentadbiran negeri akan memastikan kesentosaan negeri buat sekalian rakyat.

“Segala bentuk cauvinisme kaum mahupun agama tidak punya tempat di Selangor yang kosmopolitan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan Ucapan Sembah Taat Setia sambil diapit dua EXCO; Hee Loy Sian mewakili kaum Cina dan V Ganabatirau mewakili kaum India sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balai Rungseri, Istana Alam Shah.

Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam ucapan sama, Amirudin berkata Selangor terus mencatat kejayaan apabila terus menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan kadar 23 peratus pada 2017, peningkatan dari 22.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian itu didorong oleh kedudukan kewangan yang kukuh selain Selangor menjadi destinasi tumpuan pelabur dalam dan luar negara.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat membuka sebuah galeri seni yang bakal menempatkan karya seniman tersohor dari rantau Asia Tenggara selain memberi ruang kepada seniman tempatan.

 


Pengarang :