SELANGOR

MB: Tiada rombakan, hanya pertambahan EXCO

OLEH AFIX REDZUAN

BUKIT JELUTONG, 8 DIS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menafikan akan berlaku rombakan barisan EXCO Negeri Selangor sebaliknya hanya pertambahan pimpinan bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Menurutnya, secara keseluruhan kuota EXCO Negeri Selangor sebanyak 10 orang dan beliau masih belum bersedia mendedahkan nama calon.

“Kita perlu isi kekosongan yang ada dan sedang tunggu tarikh tarikh sesuai untuk umum EXCO baharu.

“Yang ada cuma penambahan bagi melengkapkan kuota kita supaya pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar. Calonnya saya belum dapat ilham lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Perhimpunan Bulanan (Disember 2018) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Bukit Jelutong.

Setakat ini, terdapat kekosongan bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan selepas bekas Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos 2018 pada usia 56 tahun akibat kanser.


Pengarang :