Selangorkini
SELANGOR

MBI salur RM1.7 juta bantu 8,400 pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 14 DIS: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memperuntukkan RM1.7 juta bagi membantu 8,400 pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi peruntukan itu, 150 pelajar di setiap DUN bakal menerima bantuan RM200 seorang.

“Inilah kebaikan Selangor selain melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat, kita juga turut memberikan bantuan persekolahan untuk kanak-kanak yang bakal memulakan sesi persekolahan.

“Saya optimis bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa atau penjaga menyediakan kelengkapan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Perdana Program Jelajah Kembali Ke Sekolah, di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman.

Pada majlis terbabit, Amirudin turut menyerahkan bantuan persekolahan fasa pertama kepada 600 penerima membabitkan Dewan Undangan Negeri Gombak Setia; Bukit Antarabangsa; Lembah Jaya; Pandan Indah; Sungai Tua dan Taman Templer.

Pada masa sama, Amirudin komited program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dapat dizahirkan supaya keuntungan perniagaan diperoleh dapat diterjemah dalam bentuk kepedulian kepada rakyat.


Pengarang :