PBTSELANGOR

MBPJ bantu persiapan persekolahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan kurang berkemampuan melalui program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) ‘Jom Shopping Peralatan Sekolah’.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

Katanya, program itu adalah salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial MBPJ kepada komuniti setempat, di bawah pentadbirannya.

“Selain itu, program seperti ini dapat memupuk semangat untuk memasuki alam persekolahan dan membentuk modal insan cemerlang dalam pendidikan tanpa merasa terpinggir dengan kekurangan kemudahan persiapan sekolah.

“Pada program ini, seramai 50 penerima bantuan PPKB menerima baucar bernilai RM300 untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform, kasut dan alat tulis, di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua penerima sumbangan itu adalah penduduk yang berdaftar di bawah PPKB di kawasan pentadbiran MBPJ, iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Desa Mentari.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Pada masa sama, MBPJ turut melancarkan sistem e-commerce Karung Kitar (https://www.ppkbmbpj.com/ecommerce) yang diwujudkan bagi mengembang dan mempertingkatkan jualan produk PPKB serta membolehkan peserta menjana pendapatan tambahan.


Pengarang :