PBTSELANGOR

MBPJ laksana SPAH di 7 sekolah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Tujuh buah sekolah di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka akan memulakan penggunaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) sebagai usaha melestarikan alam, pada tahun hadapan.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar berkata, memorandum persefahaman bersama sekolah berkenaan sudah ditandatangani, pada November lalu bagi merealisasikan hasrat terbabit

Katanya, langkah itu juga selaras dengan usaha MBPJ menjadikan setiap bangunan di kawasan terbabit sebagai mampan.

“Bagi struktur bangunan lama akan diceriakan dengan lukisan mural yang memberi imej baru lebih menarik dan selesa untuk dilihat serta dilawati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Bangunan Hijau, di bawah Program Bangunan Ceria, di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ.

Pada masa sama, Johary berkata, MBPJ turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf bangunan kediaman bertingkat di bawah program Indah Smart Selangor, berjumlah RM740,753.71 .

Katanya, MBPJ menaik taraf bangunan Pangsapuri Damai dengan mengecatnya semula untuk menojolkan imej yang lebih baik dan selesa kepada komuniti setempat.

“Ia juga selari ke arah menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berdayahuni dan kondusif menjelang 2030,” katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak enam bangunan komersial dan enam bangunan kediaman bertingkat, di Petaling Jaya menerima Anugerah Bangunan Hijau di bawah Program Bangunan Ceria.

Anugerah Bangunan Hijau yang membabitkan enam kriteria utama dalam sistem penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI) itu terdiri daripada kecekapan tenaga, kualiti dalaman alam sekitar, perancangan tapak lestari dan pengurusan, bahan dan sumber, kecekapan air dan inovasi.

Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah sumbangan bernilai RM 2,000 beserta sijil.

 


Pengarang :