PBTSELANGOR

MBSA arah kibar bendera sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 DIS: Persiapan bagi menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berjalan lancar.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, bersempena acara itu, surat pekeliling sudah dihantar kepada semua agensi kerajaan bagi mewajibkan pemasangan bendera Selangor, pada setiap bangunan.

“Syarikat swasta juga digalakkan memasang bendera bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun baginda Tuanku kali ini,” katanya selepas mesyuarat penuh Ahli Majlis MBSA di Wisma MBSA, di sini.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA juga menyelesaikan proses pemasangan 45 unit papan tanda baru bagi menggantikan papan tanda tulisan dwibahasa.

Katanya, proses pemasangan terbabit berjaya disiapkan lebih awal berbanding tempoh disasarkan pihaknya sebelum ini, iaitu pada penghujung bulan ini.

“Kos pemasangan papan tanda baharu berjaya dijimatkan dengan anggaran RM12,000 berbanding kos sebenar iaitu RM18,000,” katanya.

Sebelum ini, seorang aktivis masyarakat mempersoalkan kewujudan papan tanda jalan yang menggunakan bahasa dwibahasa.

Susulan itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya papan tanda berkenaan diturunkan dan diganti dengan papan tanda yang menggunakan bahasa tunggal, iaitu bahasa Melayu.


Pengarang :