PBTSELANGOR

MBSA raih tempat ketiga Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Limbang 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya meraih tempat ketiga, pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang 2018 anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak, pada 23 hingga 25 November lalu.

Kejohanan yang berlangsung sengit di Kompleks Sukan Limbang, Sarawak itu menyaksikan pasukan MBSA menewaskan pasukan Apachee Labuan, pada pusingan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan MBSA untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala iringan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kejayaan mendapat tempat ketiga itu adalah satu pencapaian memberangsangkan, sekali gus dapat meningkatkan imej MBSA, di mata masyarakat.

“MBSA amat menggalakkan kakitangan pelbagai peringkat jawatan untuk terbabit secara langsung dalam aktiviti sukan seperti ini kerana ia dapat melahirkan kakitangan cergas, sihat dan berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pasukan tarik tali MBSA juga pernah menjuarai beberapa siri kejohanan lain yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin dan Majlis Bandaraya Teluk Intan.

Terdahulu, sebanyak 27 pasukan menyertai pertandingan terbabit dan pasukan Saka Biru daripada Polis Diraja Malaysia dinobatkan selaku juara untuk edisi tahun ini.


Pengarang :