SELANGOR

MDKS yakin kecekapan KDEBWM urus sisa domestik

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yakin akan kecekapan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan kutipan sisa domestik di kawasan pentadbirannya.

Yang DiPertuanya, Rahilah Rahmat berkata, pengambil alihan pengurusan itu mampu meningkatkan kualiti hidup selaras dengan visinya untuk menjadi entiti berorientasikan masyarakat dan mesra alam.

“Selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, saya harap ia mampu menyelesaikan aduan dan masalah melalui perkhidmatan lebih sistematik dan terkini.

“MDKS menerima banyak maklum balas dan cadangan sering dibangkitkan dalam mesyuarat berkaitan aduan sampah serta isu berkaitan,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Ibu Pejabat MDKS di sini, hari ini.

Rahilah berkata, MDKS menerima aduan berkaitan sampah sebanyak 229 tahun ini berbanding 148 bagi tahun lalu.

Katanya, walaupun aduan tidak tinggi berbanding PBT lain, namun akan berterusan sekiranya tidak ditangani sebaiknya.

“Statistik berkaitan aduan pengurusan sisa pepejal di negara ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun seiring dengan pembangunan pesat di kawasan tertentu.

“Pembangunan ini menjadikan kepadatan populasi kian meningkat sekali gus mendorong kepada peningkatan jumlah penjanaan sisa pepejal.

“MDKS juga tidak terlepas dari berdepan dengan pelbagai cabaran berkaitan isu ini, justeru kerjasama semua pihak diperlukan bagi membantu KDEBWM,” katanya.


Pengarang :