SASTERA

Menyelusuri Sungai Itu

OLEH ALIAA ALINA

“TUAN, saya perlukan kebenaran Tuan untuk mendayung sampan di sungai itu. Saya perlu mencari sesuatu di sana.”

“Apa yang kamu mahu cari, Julia?”

“Saya sendiri pun tidak tahu, Tuan. Cuma saya yakin saya akan menemuinya di sungai itu.”

“Bagaimana kamu mahu mencari sesuatu yang kamu sendiri pun tidak tahu perkaranya?”
“Tolonglah Tuan, benarkan saya pergi ke sungai itu…”

***

Saya mendayung sampan di sungai itu, airnya jernih sehinggakan saya boleh nampak apa yang ada di dasarnya. Airnya mengalir perlahan, dan bunyi deruannya membuatkan saya berasa tenang sekali.
Momen-momen seperti ini sesuatu yang tidak ternilai kerana sungai adalah perkara yang asing bagi saya.

Saya dilahirkan dan dibesarkan di dalam rumah kotak berpuluh tingkat di kota metropolitan. Di sana, sungai adalah lambang kemewahan dan hanya mereka yang berduit sahaja yang mampu melihatnya.

Saya terfikir tentang apa yang diperkatakan oleh Tuan sebelum ini, bagaimanakah saya mahu mencari sesuatu yang saya sendiri tidak tahu perkaranya. Saya mulai berasa risau namun saya teguhkan keyakinan bahawa akan menemuinya di sungai ini.

Dayungan saya semakin perlahan apabila melihat seseorang berdiri di tebing dan melambai tangannya kepada saya.

Wajahnya memang cukup saya kenali. Dia adalah kekasih saya yang sudah pergi meninggalkan saya untuk orang lain. Disebabkan dia, kemurungan kembali memeluk saya selepas saya meninggalkannya di rumah Ibu.

Kekasih saya memujuk saya supaya datang kepadanya untuk memulakan hidup baru.
Saya hampir termakan pujukan itu, namun tangan saya enggan untuk berhenti
mendayung. Mungkin tubuh saya memilih untuk pergi seperti mana yang dia telah lakukan dahulu.

Maka saya pun terus mendayung sehinggalah lengan saya terasa lenguh. Akhirnya saya pun berhenti di pinggir sungai itu.

***

“Tuan, tolong benarkan saya kembali semula ke sungai itu. Saya masih lagi tidak berjumpa dengan perkara yang saya cari.”

“Tinggalkan sungai itu, Julia. Kamu perlu kembali semula sebelum terlambat.”

“Saya tidak boleh, Tuan. Saya tidak akan dapat kedamaian jika saya tidak meneruskan pencarian di sungai itu.”

“Tiada kedamaian di sungai itu jika kamu gagal mencari kedamaian di dalam diri kamu.”

“Tolonglah Tuan, izinkan saya balik semula ke sungai itu.”

***

Buat kali keduanya, saya mendayung sampan di sungai itu. Saya menutup mata dan berasa nikmat sekali apabila angin lembut mencium wajah saya. Ternyata Tuan berbohong kepada saya kerana saya berasa aman dan bahagia di sungai itu.

Apabila saya membuka mata, saya melihat ada dua manusia berdiri di tebing sungai sedang melambai-lambai kepada saya.

Apabila saya mula menyedari manusia tersebut adalah Ibu dan ayah tiri, saya terus diserang rasa panik sehingga

membuatkan saya sesak nafas. Saya gopoh mendayung sampan dengan rasa cemas, takut dan marah menekan kuat dada ini.

Setelah jauh mendayung, barulah saya berani menoleh sebentar untuk menatap wajah Ibu. Dia menyatakan kerinduannya kepada saya dan meminta supaya saya
kembali kepadanya.

Saya juga rindukan Ibu namun saya terluka dengan tindakannya. Dia sepatutnya melindungi saya namun dia telah memilih untuk melindungi dirinya sendiri. Dan melindungi lelaki yang mengajar saya tentang erti kesakitan, ketakutan dan kehinaan. Lelaki itu adalah dewa maut yang tidak bersayap sewaktu saya kecil dahulu.

Saya berterusan mendayung sehinggalah lengan saya berasa lenguh. Lalu saya pun berhenti di pinggir sungai itu sekali lagi.

***

“Julia, usahlah mendayung sampan lagi. Kembalilah dan jalani kehidupan kamu seperti biasa.”

“Tuan, buat kali terakhir, benarkan saya kembali ke sungai itu. Saya masih yakin perkara yang saya cari ada di sana.”

“Sudah dua kali kamu menyelusuri sungai itu namun kamu masih gagal menjumpainya. Tiada gunanya jika saya benarkan kamu pergi ke sungai itu lagi.”

“Tuan, kali ini saya akan terus mendayung sehinggalah saya berjumpa dengan hujung sungai itu. Apabila saya sudah sampai ke penghujungnya, barulah saya akan
kembali semula kepada mereka.”

“Bagaimana jika kamu gagal berjumpa dengan penghujungnya, Julia?”

“Bukankah semua perkara sepatutnya ada pengakhirannya, Tuan?”

***

Buat kali ketiga, dan mungkin kali terakhirnya, saya kembali semula ke sungai itu.
Walaupun gusar, saya tetap gagahkan diri untuk terus mendayung kerana saya perlu sampai ke penghujungnya. Saya yakin, pasti ada sesuatu yang indah sedang menanti di sana untuk saya.

Hati saya berdebar tatkala melihat seorang manusia sedang melambai-lambai di tebing sungai. Pada mulanya, saya memalingkan kepala kerana saya takut untuk
melihat gerangan manusia misteri itu.

Namun memikirkan bahawa saya sudah penat berlari sepanjang hidup ini, lantas saya berpaling semula kepadanya.

Saya tergamam kerana manusia itu mukanya sungguh mirip seperti saya. Janggal sungguh rasanya apabila melihat diri saya berada di tebing sedangkan diri saya yang sebenar ada di sini, sedang mendayung sampan ini.

Saya melihat beningnya berair membuatkan saya terus menyentuh mata sendiri. Saya gugup, perasaannya seperti sedang memandang pantulan sendiri di cermin
hospital.

Dia meminta saya supaya berhenti di tebing itu. Saya sudah berkira untuk menurutinya namun bunyi kocakan air membuatkan saya menoleh.

Saya hairan melihat kemunculan ratusan orang sedang mendayung sampan di sungai itu. Mereka memandang saya dengan senyuman, dan memujuk saya untuk terus
mendayung bersama mereka sehinggalah sampai ke penghujungnya.

Buat pertama kali di dalam hidup, saya tidak lagi berasa berseorangan di dunia ini.
Saya melambai pergi kepada manusia bermirip saya.

Saya berjanji bahawa saya akan kembali semula kepadanya. Sesudah saya menjumpai perkara yang saya mahukan di sungai itu.

Saya senang hati memandang matahari yang sudah separuh terbenam sambil ditemani keriuhan sekawan burung yang terbang pulang ke sarang masing-masing.

Setelah penat mendayung, saya berbaring di dalam sampan itu dengan hati yang lapang. Saya mulai terlena setelah berpuluh malam saya tidak dapat melelapkan mata. Saya membiarkan sahaja nasib saya ditentukan oleh angin dan air untuk mengemudi sampan itu.

Sehingga ke akhir waktu, saya pun kurang pasti jika saya sudah berjumpa dengan perkara yang saya cari selama ini.

Dan dalam di buai mimpi yang lena, dengan jiwa yang damai, saya bertanya semula kepada Tuan saya.

Adakah wujud hujung sungai sebenarnya?


Pengarang :