EKONOMI

MIDA ketengah peluang menarik Malaysia kepada pelabur AS

NEW YORK 16 DIS: Dalam keadaan sektor perdagangan dan industri Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu ekoran perang perdagangan antara AS-China yang telah menyebabkan pelabur berpotensi mencari peluang pelaburan di negara-negara lain selain China, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengambil langkah untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi yang ‘menarik, memberi ganjaran dan mesra perniagaan’.

Pengarah MIDA yang berpangkalan di New York, Shams Rusli, berkata agensi itu akan membantu syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan termasuk memudahkan pelaksanaan projek, pemilihan tapak, peluang menjalin usaha sama dan maklumat mengenai peluang perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan komuniti perniagaan tempatan yang turut dihadiri ahli perniagaan dari Malaysia di Flushing, New York pada Rabu.

Kim Bong, wakil komuniti Malaysia yang dianggap sebagai penggerak di belakang Malaysian American Association (MAA), adalah individu yang menjayakan pertemuan antara Shams dan kumpulan komuniti perniagaan berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama Bernama, Shams berkata Malaysia menawarkan peluang kepada pelabur yang berpotensi dalam keadaan tidak menentu yang disebabkan oleh perang perdagangan itu.

“Sebagai contoh, kita perhatikan bahawa Malaysia mencatatkan peningkatan dalam aliran masuk pelaburan sejak perang perdagangan bermula. Saya boleh petik, khususnya, dua industri yang nampaknya meraih manfaat – industri bahagian-bahagian automotif dan elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Sektor E&E Malaysia menarik aliran masuk pelaburan asing yang besar berjumlah RM8.2 bilion atau kira-kira 84.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan dalam negara, yang datang kebanyakannya dari Singapura, Belanda, Jepun dan Jerman, katanya.

Singapura, China, Hong Kong, Jepun, Belanda, Jerman dan AS merupakan pasaran yang mencatatkan kenaikan ketara dalam eksport E&E Malaysia.

Shams berkata ciri-ciri ‘baharu menarik’ dalam sektor E&E adalah penggunaan elektronik hibrid fleksibel (FHE) dalam beberapa teknologi perindustrian baharu dan elektronik tahan lasak.

“FHE menjadikannya mudah untuk menghasilkan produk pintar yang cekap, ringan, berkos rendah, fleksibel dan berdaya tahan dengan pelbagai penggunaan, termasuk pengesan tahan lasak memantau kesihatan,” katanya.

Trend global yang boleh memberi kesan dan menerima kesan daripada industri E&E Malaysia termasuklah Industri 4.0, robotik dan automasi dalam kemudahan pembuatan, logistik dan rumah gudang, dan peningkatan penggunaan teknologi rumah dan bangunan pintar, satu langkah ke arah memodenkan pembuatan dan ekonomi gaya hidup digital.

Menurutnya, pelabur-pelabur berpotensi itu boleh menimbang memanfaatkan pelbagai peluang strategik seperti pembiayaan Penyelidikan dan Pembangunan yang bertujuan melaksanakan Industri 4.0 dan pembuatan pintar.

Menurut MIDA, bagi tempoh Januari-September 2018, Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah kira-kira RM44 bilion, peningkatan 250 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. China menyumbang 32 peratus daripada aliran masuk FDI diikuti Indonesia (18.4 peratus), Belanda (17 peratus), AS (6.4 peratus), Korea (lima peratus), Jepun (4.3 peratus) dan Singapura (2.5 peratus).

Dengan negara-negara pelabur berpotensi yang menimbang melabur di Malaysia berikutan kesan daripada perang perdagangan, keyakinan pelabur asing di Malaysia juga telah meningkat, kata Shams.

Beliau juga menganggap industri aeroangkasa dan peranti perubatan sebagai dua sektor berpotensi besar yang boleh menarik pelaburan FDI ketika Malaysia terus memberi tumpuan utama kepada sektor berkenaan yang mendapat sokongan daripada teknologi baharu dan kekuatan inovasinya.

“Industri aeroangkasa dan peranti perubatan adalah sektor yang berpotensi tinggi bagi Malaysia yang sedang menembusi peringkat global,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :