SELANGOR

‘Mini Zee Bee Forum’ beri pendedahan agenda pembangunan mampan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: ‘Mini Zee Bee Urban Forum’ anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi pendedahan secara meluas berkaitan agenda pembangunan mampan di peringkat global, khususnya membabitkan program bersama komuniti.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia menjadi medium untuk berkongsi idea, selain bertukar pendapat berhubung program ‘Mini Zee Bee’.

“Program ini adalah berdasarkan garis panduan Pembangunan Kejiranan Hijau yang menekankan aspek elemen hijau dalam kehidupan seharian seperti kebun bandar, bandar selamat, penjimatan tenaga dan air, pengasingan sampah dan kitar semula.

“Selain itu, kita juga menyasarkan pendedahan lebih meluas kepada peserta forum mengenai kepentingan Agenda Pembangunan Mampan selari dengan matlamat menjadikan banda raya Shah Alam Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, forum berlangsung pada 5 dan 6 Disember lalu, di Avenue Garden Hotel, Bangi mendapat penyertaan daripada Ahli Majlis MBSA dan wakil penduduk bagi setiap Zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan terbabit.

Ia disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Antara pengisian forum sepanjang dua hari adalah taklimat daripada Setiausaha Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia, TPr Datin Mazrina Abdul Khalid bertajuk, Agenda ‘Sasaran Pembangunan Mampan (SDG)’ Malaysia dan Rangka Kerja Shah Alam bandar raya Rendah Karbon.

Disusuli taklimat Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Malaysia, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin bertajuk, ‘Hijrah Hijau dari Perspektif Sains’ dan perkongsian pengalaman bersama Ketua Juri Mini Zee Bee 2013-2017, TPr Mohd Zainuddin Jumaat iaitu ‘Memperkasakan Komuniti yang Mampan’.

Selain itu, taklimat turut disampaikan Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Operasi Urbanice Malaysia, Dr Mohd Rizal Osman bertajuk, ‘Agenda Perbandaran Baru’ juga daripada Pengarah Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Mohd Azmi Amer Khan dengan tajuk, Inisiatif Hijau MBSA ‘Pengasingan Sampah dari Rumah’.

Program Kejiranan Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) mula diperkenalkan pada 2013 kepada semua MPP Zon di bawah pentadbiran MBSA

 


Pengarang :