SELANGOR

MPAJ: Segera perbaharui lesen perniagaan atau berdepan tindakan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 DIS: Semua pemilik atau pemegang lesen perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diingatkan supaya memperbaharui lesen perniagaan 2019, sebelum 31 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, pemegang lesen perlu segera berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan selepas tarikh ditetapkan itu.

“Kegagalan pemegang lesen memperbaharui selepas 31 Disember 2018 secara automatik dikenakan kompaun lewat perbaharui lesen RM200 bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

“Jika gagal memperbaharui selepas 31 Mac pula, kenaikan kompaun akan dikenakan sebanyak RM700 bagi tempoh April hingga September 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil. 12/2018, di Bilik Mesyuarat 1, Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Abd Hamid berkata, pihaknya juga sedang menjalankan program pembaharuan lesen bertempat di Melawati Mall, Taman Melawati bermula 20 hingga 24 Disember ini.

Katanya, pembaharuan lesen sama ada di kaunter luar atau MPAJ mewajibkan semua pemegang lesen supaya menggunakan sistem I-COMM.

“Mereka dikehendaki membuat pembaharuan lesen secara dalam talian dengan melayari laman sesawang www.icomm.mpaj.gov.my bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

“Notis dan pemberitahuan sentiasa dimaklumkan kepada pemegang lesen dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, MPAJ mengutip sebanyak RM3.2 jura membabitkan seramai 4,736 daripada 8,800 pemegang yang sudah memperbaharui lesen terbabit, sepanjang tempoh pembaharuan sejak Oktober lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu masih kecil kerana hanya melebihi 50 peratus daripada jumlah sebenar pemegang lesen premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Hamid turut menggesa mereka yang mahu memulakan perniagaan supaya mengemukakan permohonan lesen dengan kadar segera.


Pengarang :