BERITA UTAMASELANGOR

MPAJ teruskan pengecualian cukai taksiran pemilik rumah kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 25 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meneruskan pengecualian cukai taksiran 2019 ke atas pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung baharu dan tradisi, berkuatkuasa 1 Januari ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, lanjutan daripada keputusan itu, sebanyak 51,386 unit terlibat dengan jumlah kehilangan hasil adalah RM9.91 juta.

“Bagaimanapun, pemilik masih perlu membayar tunggakan tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya dengan jumlah tunggakan sebanyak RM4.95 juta yang perlu dijelaskan.

“Perlu diambil maklum bahawa hasil cukai taksiran ini penting bagi menjayakan aktiviti pembangunan dan kemasyarakatan, khususnya dalam kawasan Ampang Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil.12/2018, di Bilik Mesyuarat 1, di sini, semalam.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, pihaknya juga mengadakan operasi penghantaran dan kutipan Notis E Cukai Taksiran sepanjang November lalu, di dua lokasi termasuk Taman Lembah Maju serta Pandan Jaya.

“Setakat ini, jumlah tunggakan cukai taksiran adalah RM1.42 juta dan jumlah kutipan cukai taksiran sebanyak RM0.22 juta, manakala Notis E yang telah dihantar pula sebanyak 822 unit premis.

“Justeru, menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk memastikan bayaran cukai dibuat kerana notis atau bil yang dihantar adalah sebahagian daripada inisiatif MPAJ,” katanya.

Pemilik premis yang belum membayar cukai taksiran boleh menggunakan sistem iCOMM atau melayari laman sesawang di www.icomm.mpaj.gov.my bagi memudahkan pembayaran dibuat.


Pengarang :