SELANGOR

MPK catat RM4.4 juta peningkatan kutipan cukai taksiran

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 24 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan peningkatan kutipan cukai taksiran sebanyak RM4.4 juta sehingga 13 Disember lalu, dengan jumlah RM177.5 juta berbanding RM173.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, peningkatan itu menjadi petanda positif buat MPK bagi meneruskan prestasi cemerlang mengutip hasil bagi tahun akan datang.

“Faktor mendorong peningkatan hasil ini adalah penyampaian bil cukai taksiran yang lebih cekap berbanding tahun sebelumnya apabila bil itu dapat diserahkan lebih awal.

“Kita juga menubuhkan ‘Taskforce 4%’ di peringkat MPK untuk membantu secara manual dengan pegawai kita mengutip cukai di luar waktu pejabat.

“Sesi perbincangan diadakan antara MPK bersama syarikat besar dan orang awam secara berkala turut menyumbang kepada peningkatan hasil kutipan kita tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 11/2018 di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi MPK di sini, hari ini.

Mengikut pecahan, RM78.1 juta kutipan keseluruhan berjaya dikutip daripada sasaran RM82.8 juta pada butiran Cukai Taksiran 1/2018 dengan prestasi 94 peratus.

Bagi butiran Cukai Taksiran 2/2018, RM73.9 juta berjaya dikutip daripada sasaran RM84.5 juta dengan prestasi 87 peratus manakala jumlah kutipan keseluruhan berjumlah RM25.5 juta berjaya dikutip bagi butiran Tunggakan Cukai Taksiran dengan prestasi 65 peratus.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Yasid memaklumkan, orang awam diminta menjelaskan Cukai Taksiran Penggal Pertama 2019 sebelum atau pada 28 Februari 2019.

Selain itu, Kempen Pembayaran Cukai Taksiran akan dilangsungkan pada Januari 2019 bermula 10.30 pagi sehingga 10 malam di Pasaraya Giant Klang Sentral (5-6 dan 12-13 Januari) dan Aeon Big, Jalan Kapar (19-20 dan 26-27 Januari).


Pengarang :