PBTSELANGOR

MPK hargai peranan media salur maklumat

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 23 DIS : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menghargai peranan pengamal media yang sentiasa memberi kerjasama baik dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, beliau amat kagum terhadap pengamal media yang sentiasa menjunjung tinggi etika kewartawanan iaitu seimbang dalam penyampaian berita.

Katanya, keseimbangan laporan itu sekali gus bertindak selaku penghubung yang dapat mendekatkan pihak Majlis dengan masyarakat menerusi liputan dan kupasan relevan diterbitkan pengamal media.

“Walau pelbagai cabaran perlu ditempuhi, yang penting adalah memelihara dan memupuk jalinan kerjasama erat antara MPK dan media massa.

“Melalui hubungan baik terjalin ini, ia dapat membantu MPK untuk memberi penjelasan yang tepat dan benar melalui medium media massa supaya rakyat dapat memahami masalah yang timbul dengan lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Penghargaan Media MPK 2018, di Dewan Hamzah, di sini, pada 21 Disember lalu.

Katanya, perkembangan yang semakin pesat dalam rangkaian teknologi maklumat pada masa kini telah mendedahkan masyarakat dengan ledakan serta revolusi maklumat melangkaui sempadan.

“Sebagai contoh,berita di mana saya turun padang menasihatkan warga asing menjaga kebersihan di Bandar Sultan Suleiman menjadi ‘viral’ di seluruh negara dan menerima impak positif daripada netizen di luar sana.

“Malah, pada masa kini, rata-rata masyarakat menggunakan media atau telefon pintar untuk berhubung, mengetahui isu semasa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai fungsi dan peranan media dalam menambah pengetahuan serta membentuk minda masyarakat.

“Oleh itu, kita dapat lihat bahawa media sememangnya mempunyai nilai yang sangat postif seiring dengan perkembangan teknologi serta perkembangan kehidupan manusia.

“Justeru, majlis malam ini (semalam) diadakan sebagai tanda penghargaan MPK terhadap jasa dan sumbangan pihak media yang memberikan impak positif ke atas laporan berita dan isu berkaitan Majlis,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran majlis itu merupakan inisiatif MPK untuk meraikan dan menghargai jasa yang disumbangkan pihak media kepada MPK dalam memberikan publisiti dan hebahan ke atas setiap aktiviti atau program yang dilaksanakan Majlis.

Terdahulu, sebanyak 21 pengamal media diraikan antaranya SelangorKini; TV Selangor; Sinar Harian, News Straits Times Press; Radio Televisyen Malaysia; Karangkraf dan China Press.

Sebagai tanda penghargaan, MPK turut menyediakan 10 Anugerah Khas Media, 10 Anugerah Media (ikut kategori), kuiz dan cabutan bertuah kepada semua pengamal media.

Menariknya, orang ramai turut dihalwakan telinga dengan nyanyian daripada artis legenda, Ameng Spring yang turut mempersembahkan beberapa lagu antaranya Pesanan Buat Kekasih; Romantis; Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta dan Sejiwa.

 


Pengarang :