SUKANKINI

MPK tunduk MBPJ, julang Piala MB 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Selangor 2018 selepas menundukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2-1, di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Sebaik wisel perlawanan dibunyikan pengadil, MPK yang dibimbing jurulatih Azhar Sulaiman begitupun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan MBPJ pada minit ke-20.

Tersentak jaringan itu, MPK yang menurunkan kesebelasan utama mereka bangkit daripada ketinggalan 0-1 dengan memperkemas corak permainan, sekali gus berjaya mengikat kedudukan hasil rembatan kemas Mohamad Faris Ismail pada minit ke-30.

Jaringan penyamaan itu membangkitkan kembali semangat pasukan MPK dan menghukum kealpaan benteng pertahanan lawan apabila rembatan cantik Taufik Zainal pada minit ke-54 terus merobek gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Jurulatih MPK, Azhar Sulaiman berkata, beliau berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan skuad kendaliannya apabila membuktikan kemampuan untuk menjulang piala kejuaraan itu buat julung kalinya.

Katanya, meskipun barisan pemain menampilkan rentak agak goyah pada babak awal perlawanan, tetapi mereka berjaya menemui rentak untuk kembali menyeimbangkan pergerakan sepanjang perlawanan.

“Pada 10 minit terawal, pasukan nampak tertekan memandangkan pihak lawan tampil agresif, namun sejurus tamat separuh masa pertama saya mengumpulkan kesemua pemain bagi memberi sedikit galakan dan nasihat untuk membangkitkan semula semangat mereka.

“Kemenangan bermakna ini sudah tentu menggembirakan saya termasuk pihak pengurusan kerana kami menetapkan sasaran untuk memastikan piala ini milik kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Kemenangan itu melayakkan MPK membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala kejuaraan yang disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman yang hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan.

Naib Juara iaitu MBPJ menerima RM2,000 manakala tempat ketiga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), RM1,000.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sukan Kelab Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Mohd Faizal Mohamed Said dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

 


Pengarang :