PBTSELANGOR

MPSepang lancar kempen kurangkan penggunaan penyedut minuman plastik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 15 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan kempen mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, ia bagi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri yang mahu penyedut minuman plastik diganti dengan alternatif lain seperti penyedut kertas atau besi.

“Kita sokong hasrat Kerajaan Negeri menggalakkan penyedut minuman plastik dikurangkan supaya tiada lagi isu pencemaran berlaku.

“Kita turut mengedarkan pek penyedut minuman besi dan berus pencuci secara percuma, bagi memudahkan orang ramai untuk bawa ke mana sahaja justeru secara tidak sedar kita dapat mengurangkan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamatnya program Car Free Day MPSepang yang diadakan di Persiaran Tasik Cyberjaya, di sini, hari ini.

Katanya, beliau optimis masyarakat dapat melaksanakan budaya tidak lagi menggunakan penyedut minuman plastik kerana secara tidak langsung ia akan menjadi kebiasaan.

“Kita amat menggalakkan masyarakat mulai sedar dan secara perlahan berubah kepada budaya menggunakan penyedut minuman kertas atau besi,” katanya.

Menariknya, pada program Car Free Day terbabit, gerai yang terlibat dengan penjualan makanan minuman turut menggunakan bekas kertas bertujuan mengurangkan pencemaran.

Terdahulu, antara pengisian Car Free Day adalah aktiviti larian Suka-Suka Run sejauh lima kilometer membabitkan peserta dari Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Rumah Kasih dan beberapa peserta luar.

Turut diadakan aktiviti zumba, pertandingan kasut roda, pertandingan mewarna, pertunjukan kereta tamiya, persembahan dari artis Semarak Busker dan cabutan bertuah.


Pengarang :