Penularan Covid-19 menyebabkan permintaan terhadap telur ayam berkurang manakala harga dedak iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara meningkat kira-kira 30 peratus. Foto: BERNAMA
NASIONAL

MyCC-KPDNHEP kerjasama siasat isu kenaikan harga telur

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengenalpasti sebarang elemen anti-persaingan yang mungkin berlaku di dalam pasaran telur ayam tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, selain isu pencatutan yang mungkin menjadi penyebab kepada isu kenaikan harga telur ayam, MyCC turut melihat perlakuan anti persaingan yang diamalkan perusahaan.

Katanya, ia seperti kartel penetapan harga, pembahagian kawasan persaingan dan menghadkan pengeluaran secara sengaja.

“MyCC menggunakan segala kuasanya di bawah Akta Persaingan 2010 untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang relevan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan kartel.

“Ia demi memastikan kesejahteraan serta kepentingan pengguna kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, MyCC juga mengambil kira harga harian dan jumlah pengeluaran telur ayam dalam menilai perkara itu.

Katanya, MyCC turut melihat dengan teliti aktiviti mengeksport telur ayam ke pasaran luar negara yang semakin meningkat kebelakangan ini.

– BERNAMA


Pengarang :