NASIONAL

Noripah dilantik Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat

PUTRAJAYA, 6 DIS: Bekas Penasihat CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic), Datuk Noripah Kamso dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melalui satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, Noripah menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan daripada jawatan itu, pada 26 November lalu ekoran keterbabitan beliau dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Noripah pada masa ini adalah Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad serta Pengerusi bersama Majlis Industri Kewangan Islam juga Dewan Perniagaan Malaysia Amerika yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat.

“Beliau juga adalah bekas Presiden Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia (MFBA) dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mohd Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat baharu.

Beliau berkata, kedua-dua pelantikan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah selaras kuasa diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah sub perenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 Akta 202.

“Pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu Bank Rakyat lainnya akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan ‘layak dan sesuai’ oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 Akta 618,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :