GLOBALSELANGOR

NTB sambut ulang tahun ke-60 penuh keceriaan

OLEH AFIX REDZUAN

LOMBOK, INDONESIA, 17 DIS: Deligasi Negeri Selangor diberikan penghormatan untuk turut bersama-sama meraikan sambutan Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB) Ke-60 di Kantor Gubenur NTB, Bumi Gora, Mataram, semalam.

Sambutan ini diraikan 17 Disember setiap tahun bagi memperingati pembukaan wilayah Nusa Tenggara Barat sejak 60 tahun lalu.

Ketibaan deligasi sekitar jam 6.30 petang. diketuai Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah bersama EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Tema sambutan kali ini adalah ‘NTB Bangkit’ dihadiri Gabenur NTB, Zulkeflimanshah dan Wakil Gabenur NTB, Dr Siti Rohmi Djalillah serta lebih 5,000 warga tempatan.

Zulkeflimanshah dalam ucapannya mengharapkan NTB akan terus maju dengan sokongan semua pihak termasuk pimpinan tempatan di samping mengekalkan keharmonian wilayah supaya kehadiran pelancong meningkat di masa hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua bekas pemimpin NTB yang berjaya membangunan wilayah ini sejak sekian lama.

“Saya harap keadaan akan terus aman kepada pelancong. Kita juga harus mengambil pengajaran daripada kejadian gemba bumi yang berlaku Ogos lalu sebagai peringatan daripada Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Datuk Abdul Rashid mewakili Deligasi Negeri Selangor mengucapkan setinggi tahniah atas sambutan ke-60 NTB.

Sambutan Provisi turut diserikan dengan acara memotong pulut kuning dan penyembelihan 1,500 ekor ayam taliwang yang diberikan kepada pengunjung serta persembahan daripada kumpulan Wali Band.

Sebelum itu pada sebelah petang, rombongan deligasi turut dibawa melawat Desa Wisata Sasak Ende, Sengkol, Lombok.

Perkampungan yang diduduki 30 keluarga dengan 135 penduduk dari suku kaum Sasak turut mempamerkan Tari Perisian yang menggunakan rotan manakala perisainya diperbuat daripada kulit lembu.

Lebih mengagumkan, binaan rumah mereka menggunakan buluh dan tanah liat serta ditambah dengan lapisan daripada tahi lembu kering bagi mengukuhkan lagi struktur binaan.


Pengarang :