SELANGOR

PANTAS MPAJ sedia berdepan kemungkinan bencana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana ekoran perubahan angin monsun timur laut, dari November hingga Mac tahun hadapan.

Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, hal itu bagi memastikan kejadian bencana seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan hujan lumpur yang berlaku di kawasan pihak berkuasa tempatan berkenaan dapat diurus pada tahap terbaik.

“PANTAS yang terdiri daripada 25 anggota penguatkuasa akan membuat persediaan 24 jam, tujuh hari seminggu dan bertugas mengikut giliran selama lapan jam bagi setiap shif.

“Selain itu, PANTAS turut dibantu 80 anggota penguatkuasa daripada Jabatan Penguatkuasa MPAJ yang terbahagi kepada 10 kumpulan tindakan bencana, sebagai unit sokongan dalam menguruskan kejadian bencana di kawasan ini dengan lebih efisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil. 12/2018, di Bilik Mesyuarat 1, Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, jika kejadian bencana membabitkan skala besar, pihaknya juga akan memohon bantuan daripada jabatan lain untuk bersama menggerakkan usaha menangani masalah sedemikian.

Katanya, ia termasuk Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Jabatan Kejuruteraan mengikut jenis bencana yang berlaku.

“Kami diberi latihan khas menguruskan bencana, selain bertanggungjawab ke atas kejadian bencana yang tidak melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serius

“Bagaimanapun, kita berharap usaha selama ini tidak akan mendatangkan apa-apa bencana, terutamanya di luar kawalan kita,” katanya.

Sehingga November lalu, PANTAS MPAJ berjaya menguruskan 158 kes bencana meliputi 138 kejadian pokok tumbang, tujuh banjir, 11 gelinciran tanah dan dua kejadian tanah mendap.


Pengarang :