BERITA UTAMASELANGOR

Paras enam empangan 100 peratus, mampu tampung keperluan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kapasiti tujuh empangan di Selangor mampu menampung kegunaan melebihi tiga bulan sekiranya berlaku kemarau panjang.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sehingga 14 November, enam empangan mencapai paras kapasiti takungan 100 peratus kecuali Empangan Batu, 96.9 peratus.

“Keadaan ini sangat baik dan enam daripadanya mencapai kapasiti 100 peratus. Peningkatan intensiti hujan pada perubahan monsun menyumbang kepada pertambahan kapasiti air di empangan.

“Kapasiti yang ada mampu menampung kegunaan lebih tiga bulan jika berlaku monsun barat daya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mengulas mengenai pelepasan air bagi mengelakkan limpahan yang akan menjejaskan pengguna, Izham berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan membuat kawalan pelepasan air berjadual dan pengurusannya dibuat secara optimum.

 


Pengarang :