PENDIDIKANSELANGOR

Pasang strategi sasar UNISEL setaraf IPTA lain

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Penambahan pelbagai bidang bagi ijazah doktor falsafah (PhD) adalah antara strategi yang dilaksanakan bagi memastikan Universiti Selangor (UNISEL) setaraf dengan institut pengajian tinggi awam lain.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, UNISEL juga akan mengkaji tawaran program bersesuaian mengikut kehendak semasa dan mewujudkan program yang senang dipasarkan.

Beliau berkata, bagi merealisasikannnya, UNISEL mewujudkan panel penasihat program untuk menepati peralihan zaman.

“UNISEL turut akan dinaik taraf sama seperti universiti kelas pertama, selain mewujudkan universiti kampus hijau.

“Tidak ketinggalan, pemberian pelajaran percuma di peringkat matrikulasi turut dilaksanakan dan pemilihan ahli lembaga pengarah berwibawa serta berpengetahuan tinggi turut akan memacu universiti ini ke arah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan mulut, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa bangga apabila jumlah pendaftaran pelajar baru untuk sesi kemasukan, di UNISEL kali ini bertambah baik.

“Ini dicatatkan melalui pengambilan pelajar, pada Jun 2018 lebih ramai daripada biasa iaitu mencecah sehingga 1,000 pelajar.

“Perkembangan positif ini turut dilihat melalui pendaftaran pelajar luar negara,” katanya.


Pengarang :