EKONOMI

Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil minggu depan, seiring ketidaktentuan di pasaran niaga hadapan getah serantau, ditambah dengan ringgit yang rendah, kata peniaga.

Beliau berkata, peniaga mungkin tidak memasuki pasaran memandangkan niaga hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) yang menjadi penanda aras, akan ditutup mulai 31 Dis, 2018 hingga 3 Jan, 2019 sempena cuti Tahun Baharu.

“Ini sekali gus akan mempengaruhi jumlah dagangan getah tempatan,” katanya.

Beliau berkata, harga minyak mentah meningkat kira-kira dua peratus pada Jumaat untuk menampung kerugian pada sesi sebelum ini, namun, peningkatan stok minyak mentah Amerika Syarikat dan kebimbangan berterusan mengenai ekonomi global menjadikan pasaran secara amnya mengalami tekanan.

Harga minyak mentah akan mempengaruhi harga getah memandangkan penurunan dan kenaikan akan menentukan harga pesaing getah asli – getah sintetik.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga getah diniagakan bercampur-campur.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 tidak berubah pada 527.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 2.5 sen kepada 379 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 turun lima sen kepada 525.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 379.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :