EKONOMI

Pasaran getah dijangka lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi minggu depan sejajar dengan pasaran hadapan getah serantau dan penyusutan ringgit.

Peniaga berkata, penanda aras niaga hadapan getah Tokyo terus meningkat, disokong oleh jangkaan bahawa Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa akan mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong harga getah asli.

“Ini akan turut mempengaruhi harga getah tempatan,” katanya.

Tiga negara di bawah majlis tersebut, iaituThailand, Indonesia dan Malaysia, telah menyatakan kebimbangan bahawa pasaran diterajui persepsi berdasarkan data yang tidak tepat walaupun wujud keseimbangan bekalan getah asli, permintaan dan stok NR yang berkaitan.

Langkah-langkah itu dijangka dilaksanakan mulai awal 2019.

Untuk minggu baru berakhir, harga getah didagangkan keseluruhannya lebih tinggi.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 meningkat 13.5 sen kepada 527.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 5.5 sen kepada 381.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang untuk SMR 20 adalah 16 sen lebih tinggi kepada 530.5 sen sekilogram, sementara lateks pukal menokok 5.5 sen kepada 382 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :