EKONOMI

Pasaran getah dijangka meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Aliran peningkatan yang dialami pasaran getah Malaysia minggu ini, dijangka akan berterusan pada minggu depan.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) Dennis Low Jau Foo berkata walaupun aliran itu tidak sekukuh mana, namun apa yang lebih penting adalah wujudnya tanda-tanda pemulihan harga komoditi itu menjelang musim tengkujuh.

“Persepsi atau harapan untuk melihat perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China berakhir, semakin hilang dan sebarang kenaikan harga getah itu lebih kepada melindungi bekalan yang ada menjelang musim hujan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran juga menantikan petunjuk daripada mesyuarat Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa(ITRC) yang dijadual berlangsung di Putrajaya, minggu depan.

ITRC terdiri daripada tiga pengeluar minyak sawit terbesar iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Satu laporan baru-baru ini berkata kumpulan itu telah mempelawa Vietnam untuk menyertai perbincangan berikutan peningkatan bekalannya ke pasaran getah global.

“Ini juga mungkin telah mencetuskan beberapa isyarat bahawa akan wujud campur tangan oleh ketiga-tiga kerajaan itu,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga getah diniagakan secara bercampur-campur.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 meningkat 3.5 sen kepada 513.5 sen sekilogram sementara lateks pukal naik 10.5 sen kepada 377.0 sen sekilogram.

Harga penutupan tidak rasmi pada 5 petang untuk SMR 20 tidak berubah pada 511.0 sen sekilogram pada Jumaat lepas, manakala lateks dalam pukal adalah 10 sen lebih tinggi pada 377.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 tidak berubah pada Jumaat lepas iaitu 511.0 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 10 sen kepada 377.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :