SELANGOR

PeBT MPS cemerlang dan berwibawa

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Kecemerlangan dan kewibawaan ditunjukkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sejak 2016 disifatkan berjaya mencapai objektif penubuhannya.

Yang DiPertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, penggerak itu juga bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Katanya, PeBT di kawasannya bukan sahaja berjaya melahirkan kepimpinan belia berwibawa tetapi menjadi ejen perubahan kepada golongan belia.

“Syabas dan tahniah kepada PeBT kerana berjaya memupuk kepimpinan golongan muda menerusi pelbagai program termasuk sukan, komuniti, bengkel kepimpinan dan bantuan kemasyarakatan serta sebagainya.

“Saya sendiri menyokong langkah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang optimis mengenai penubuhan PeBT seluruh negara dan mampu memberi kesan positif kepada gerakan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi PeBT dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, di Setia Eco Templer Park, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Turut hadir Pengerusi Induk PeBT MPS, Muadzam Mohd Shariff dan mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, Norazlin Samsudin.

Pada masa sama, Suliman berkata, peranan kedua-dua jawatankuasa berkenaan signifikan dalam memastikan dasar pembangunan belia dan sukan serta pemberdayaan wanita di Selangor dapat dilaksanakan.

“Jawatankuasa ini memainkan peranan dengan cemerlang sebagai medium menyampaikan maklumat dan bantuan daripada Kerajaan Negeri serta membantu melaksanakan program wanita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kecemerlangan yang ditunjukkan oleh PeBT tempoh itu diteladani oleh kepimpinan baru yang bakal dilantik.


Pengarang :