PBTSELANGOR

PeBT pemangkin pembangunan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Golongan belia terutamanya Penggerak Belia Tempatan (PeBT) disaran untuk terus aktif dalam gerak kerja sekali gus, menjadi pemangkin pembangunan, di negeri itu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, dengan peruntukan sebanyak RM4.96 juta bagi tujuan pemerkasaan generasi muda dan PeBT, Kerajaan Negeri yakin usaha itu dapat mencapai objektifnya.

“Dalam usaha untuk memartabatkan PeBT yang merupakan agen penggerak ke arah pembangunan Negeri, Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018- 2022 akan diwujudkan yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT.

“Ia sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Apresiasi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Keluarga Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini.

Mohd Khairuddin berkata, teras keusahawanan dan peluang pekerjaan juga akan menjadi dasar Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai insentif kepada belia.

Katanya, rangsangan aktiviti keusahawanan itu antara lain memberi bantuan perniagaan atau tapak perniagaan.

“Kita juga akan memberi fokus kepada aktiviti kesukanan melalui Program Pesta Sukan Generasi Muda Selangor (GEN-S) yang akan diperluaskan lagi,”’ katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh berkenaan pemberdayaan wanita yang merupakan tunjang kepada pembinaan keluarga dan masyarakat yang berdaya saing.

Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa menjadi peneraju dalam merencana kebijakan yang memberdaya dan memartabatkan golongan wanita.

“Sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan tahun hadapan bagi Program Pemberdayaan Wanita melalui Pusat Wanita Berdaya di 56 DUN seluruh Selangor.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksana program khusus buat golongan wanita tidak mengira umur mahupun bangsa,” katanya.


Pengarang :