EKONOMINASIONAL

Pelabur asing lihat asas ekonomi, kestabilan negara tarikan utama

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Asas ekonomi dan kestabilan politik Malaysia menjadi pertimbangan utama untuk pelabur asing melabur di negara ini kerana mereka boleh kembali menjalankan perniagaan seperti biasa jika berlaku sedikit ketegangan.

Bagi mereka, perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia adalah kukuh dan dianggap penting untuk memastikan negara stabil serta ekonomi berkembang maju.

Kepada soalan yang diajukan Bernama mengenai faktor yang relevan bagi perniagaan untuk maju, Naib Presiden Pertama Dewan Perniagaan Malaysia-China, (MCCC) Loo Kok Seong berkata, pelabur asing sentiasa melihat perpaduan kaum, keharmonian dan kestabilan politik Malaysia sebagai antara tarikan utama untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan kita sangat terkenal sebagai model kewujudan kedamaian di kalangan penduduk yang berlainan bangsa dan agama.

“Jadi, saya percaya kejadian di tokong Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini tidak akan mengubah persepsi pelabur dan menjauhkan mereka, kerana ia adalah isu tempatan yang kecil yang boleh berlaku di mana-mana negara di dunia,” katanya.

Loo berkata, pelabur akan menilai sesebuah negara berdasarkan keselamatan dan asas ekonomi keseluruhannya sebelum membuat pelaburan.

Sependapat dengan Loo, Setiausaha Agung MCCC Kevin Siah berkata, insiden kuil itu bukanlah isu perkauman yang boleh menjejaskan reputasi negara.

“Ini adalah kes yang sangat kecil yang pastinya tidak akan menjejaskan keharmonian kaum yang telah kita nikmati selama ini.

“Bagi saya, ia hanya pertikaian tanah yang ditangani secara tidak wajar antara pemaju dan pengurusan kuil. Pelabur tetap akan melihat asas ekonomi Malaysia yang kukuh untuk menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Sementara itu, pemimpin perniagaan lain berkata, komuniti perniagaan tempatan melihat kejadian itu sebagai sementara dan tidak akan menghalang pelabur daripada terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan mereka.

Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din yang baru dipilih berkata, isu tersebut tidak akan berpanjangan.

“Pada pendapat saya secara keseluruhannya, ahli perniagaan mahukan suasana negara yang harmoni untuk mereka teruskan aktiviti perniagaan mereka. Mereka lebih mementingkan faktor asas sesebuah negara yang mampan dan kukuh,” katanya.

Ditanya mengenai proses peralihan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata, pentadbiran semasa masih baru, dengan ahli Kabinet masih mencari kekuatan dan keyakinan mereka dalam membuat keputusan.

”Ini menyebabkan segala keputusan yang dibuat mengambil masa yang lebih. Tetapi bagi aktiviti-aktiviti perniagaan yang tidak melibatkan polisi atau keputusan baru, saya rasa tidak menjejaskan apa-apa. “Seperti biasa… cuma mereka menanti inisiatif yang baru,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :