PELANCONGANSELANGOR

Pelancongan: Jana RM6.5 bilion, sasar 10 juta pelancong 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 DIS: Sektor pelancongan di Selangor dijangka menerima hasil mencecah RM6.5 bilion dengan sasaran kedatangan seramai 7.4 juta pelancong pada tahun ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, jumlah itu meningkat apabila sektor pelancongan Selangor menjana RM5.8 bilion dengan kehadiran 7.2 juta pelancong dicatatkan pada tahun 2017.

“Selangor adalah pintu masuk ke Malaysia di mana bila mereka mendarat sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), secara automatik mereka akan beradadi Selangor.

“Banyak produk pelancongan di Selangor sama ada pelancongan eko, pelancongan sukan, pelancongan perubatan dan lain-lain di negeri ini yang menarik minat pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS 2020) di Gateway@KLIA2, KLIA2 Sepang di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, pada 2020 pula sektor pelancongan Selangor disasarkan menarik kedatangan 10 juta kedatangan pelancong di negeri ini.

Katanya, antara produk pelancongan terbaru yang berjaya menarik minat pelancong dalam dan luar negara adalah ‘sky mirror’ sekali gus menjadikan ianya sebagai destinasi terbaik 2018.

Ketika mengulas Belanjawan Malaysia 2019, Abdul Rashid berkata, sektor pelancongan sangat penting di Malaysia kerana mampu menjana mata wang asing

Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mensasarkan untuk membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2020.


Pengarang :