OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 1 DIS : Seemua pemenang Hadiah Sastera Selangor 2018 anjuran SelangorKini membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia adalah kali ketiga penganjuran seumpama itu diadakan namun kelainan kali ini ianya turut membabitkan peserta luar daripada Selangor.
“Terima kasih kepada akhbar Selangorkini yang menyambut baik idea saya untuk menganjurkan pertandingan ini sejak 2015.
“Ini membuktikan Selangor bukan sahaja menekankan kemajuan ekonomi semata-mata, namun ia turut terkandung unsur kuat bagi memperkukuhkan aspek kebudayaan dan kesenian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hadiah Sastera Selangor 2018 di Galeri Shah Alam di sini, semalam.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu penulisan cerpen, sajak dan juga esei.
Setiap pemenang kategori utama membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 sementara hadiah penghargaan RM1,000 setiap seoarang.
Amirudin berkata, beliau turut dimaklumkan lebih ramai penulis menghantar karya mereka untuk dimuatkan melalui akhbar SelangorKini pada tahun ini.
“Jumlah karya dihantar pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan ia membuktikan Hadiah Sastera Selangor walaupun masih muda umurnya tetapi sudah dikenali secara meluas.
“Ia tidak kiralah di kalangan penulis yang mapan mahupun baharu menceburkan diri dalam dunia penulisan. Sudah tentu ini adalah petanda baik terhadap masa depan sastera kita,” katanya.
Pada acara sama, Amirudin turut menghangatkan suasana dengan menyampaikan bacaan sajak.
Tambah meriah apabila Papa Rock Malaysia, Datuk Ramli Sarip turut menyampaikan lagu-lagu popularnya.