Selangorkini
SELANGOR

Peniaga ‘Food Truck’ perlu patuhi garis panduan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Peniaga ‘Food Truck’ diingatkan supaya mematuhi setiap garis panduan ditetapkan sewaktu menjalankan operasi perniagaan masing-masing.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, hal itu bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan dan penyelarasan permit secara komprehensif dan teratur.

Katanya, ia secara tidak langsung membantu peniaga lebih memahami kaedah pengurusan ‘Food Truck’ bagi memastikan perniagaan berjalan lancar.

“Pada asasnya, perniagaan ‘food truck’ hanyalah penjenamaan semula dengan mengambil kira susun atur supaya mudah dipantau PBT.

“Selain itu, dengan mematuhi garis panduan ini, ia boleh menaiktaraf imej perniagaan ‘food truck’ itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pengguna Bebas Plastik dan ‘Food Truck’ 2018, peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandaraya Seksyen 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad; Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar; Timbalan Pengarah Seksyen PBT Selangor, Ahmad Zaki Yusof dan Ketua Pasaran dan Pendidikan World Wide Fund for Nature (WWF), Thiagarajan Nadeson.

Loy Sian turut menyifatkan perniagaan ‘food truck’ pada masa kini semakin berkembang luas apabila ramai usahawan khususnya golongan muda mula berjinak dalam perusahaan itu.

Katanya, peniaga terbabit perlu membentuk komuniti mereka sendiri memandangkan perniagaan itu boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Kebiasaannya, produk dijual peniaga ini adalah berasaskan makanan, walaupun kadangkala ada juga yang menjual produk lain, selain makanan.

“Jenis makanan yang dijual pula ada had ditentukan kerana keadaan fizikal diubah suai mempunyai ruang terhad,” katanya.


Pengarang :