SELANGORSUKANKINI

Penuhi standard piawaian kembangkan lagi E-Sukan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 DIS: Persatuan mahupun penggiat industri E-Sukan khususnya di negeri itu disaran mewujudkan undang-undang dan etika bagi memudahkan perkembangan sukan elektronik berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan perkembangan semasa E-Sukan di dunia ketika ini, ia perlu dilakukan segera.

“Ia adalah satu tugasan kepada persatuan dan penggiat untuk melihat perancangan sukan ini.

“Saya percaya, menerusi undang-undang dan etika, kita akan dapat melatih juri, pemain, dan sebagainya sekali gus, membentuk standard atau piawaian permainan sama ada dianjurkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Selangor E-Sport Experience, di The Pantheon, di sini, semalam.

Amirudin berkata, dengan pembentukan standard tertentu itu nanti, perkembangan sukan berkenaan akan mendapat kepercayaan komunit perniagaan mahupun masyarakat di luar.

“Ini tanggungjawab persatuan dan penggiat. Buktikan sukan ini bukan membazir atau membuang masa. Lakukan segera dan Kerajaan Negeri boleh membantu dari segi penganjuran, ‘round table’ mahupun diskusi,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mahu ahli politik supaya tidak mencampuri urusan persatuan sukan terbabit.

“Dalam hal persatuan, adalah penting sikap jujur supaya kita boleh bangunkan industri dan mempertahankan kewujudan satu-satu persatuan, jadi saya minta ahli politik untuk tidak mencampuri urusan persatuan,” katanya.


Pengarang :