GLOBAL

Pepijat ‘serang’ foto 6.8 juta pengguna Facebook

SAN FRANCISCO 16 DIS: Facebook mengemukakan permohonan maaf selepas sebuah pepijat pada aplikasi ketiga berkemungkinan menyebabkan foto milik 6.8 juta pengguna yang belum dimuat naik telah terdedah kepada umum.

Menurut firma berkenaan, pengguna yang log masuk dan memberi kebenaran kepada aplikasi ketiga untuk mengakses foto mungkin menyumbang kepada isu terbabit.

Jelas Facebook, insiden itu berlaku antara 13 dan 25 September lalu.

“Apabila seseorang memberi kebenaran kepada aplikasi tertentu untuk mengakses foto miliknya di Facebook, kita selalunya hanya membenarkan aplikasi tersebut mengakses foto yang dikongsi di ruangan garis masa (timeline).

“Dalam kes ini, pepijat itu berpotensi memberi akses kepada pembangun untuk mengakses foto lain, seperti yang dikongsi di halaman Marketplace atau Facebook Stories,” kata Pengarah Kejuruteraan Facebook, Tomer Bar.

Tambah Bar, pepijat itu juga memberi kesan kepada pengguna yang memuat naik foto di Facebook tetapi memilih untuk tidak berkongsi dengan umum.

Beliau berkata, pengguna yang terjejas akan dimaklumkan selain dibantu oleh pusat bantuan supaya mereka boleh melihat apakah foto yang telah terdedah itu.

“Kami minta maaf perkara ini berlaku. Awal minggu depan, kami akan mengeluarkan satu alat untuk pembangun aplikasi mengetahui siapakah pengguna yang terjejas akibat pepijat terbabit.

“Kami akan bekerjasama dengan pembangun untuk memadamkan foto pengguna yang terjejas,” katanya.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :