SELANGOR

Pergiat kempen kesedaran beg plastik di sekolah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Kempen kesedaran beg plastik bakal diperluas ke peringkat sekolah, di seluruh Selangor, mulai tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, inisiatif lanjutan daripada kempen tujuh hari tanpa beg plastik itu bagi memupuk kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan memelihara kebersihan alam sekitar dan mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Katanya, pihaknya akan mempergiatkan kempen dan program kitar semula bermula di peringkat sekolah rendah kebangsaan.

“Kalau dulu kita tidak dibenarkan masuk ke sekolah mengadakan kempen, tetapi sekarang banyak sekolah yang berlumba menjemput kita untuk menganjurkan program seperti ini.

“Sudah tiba masanya kita menganjurkan program kitar semula dan kempen berbentuk kesedaran di sekolah bagi meningkatkan kesedaran kepada pelajar tentang bahaya penggunaan beg plastik yang bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi menjurus kepada kepupusan habitat sungai serta laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pengguna Bebas Plastik dan ‘Food Truck’ 2018, peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandaraya Seksyen 14, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri sedang memberi fokus sepenuhnya terhadap beberapa isu yang perlu diselesaikan segera termasuk caj 20 sen dikenakan bagi setiap beg plastik daripada pasaraya utama, di Selangor.

“Sebelum ini, kutipan 20 sen diberikan kepada pasaraya dan peniaga. Ada banyak persoalan yang timbul daripada pengguna berhubung kutipan itu, malahan tidak kurang juga yang menganggap pasaraya terbabit tidak menjalankan tanggungjawab sosial korporat melalui kutipan caj berkenaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan akan bertanggungjawab untuk mengutip caj 20 sen daripada pasaraya dan selepas kutipan, wang ini akan dikembalikan kepada negeri.

“Langkah ini wajar dibuat bagi memastikan kutipan 20 sen ini digunakan untuk menghasilkan beg kitar semula dan diberi secara percuma kepada pengguna, selain menjalankan kempen kesedaran dan kitar semula,” katanya.

 


Pengarang :