Perluas penggunaan bekas makanan mesra alam | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

Perluas penggunaan bekas makanan mesra alam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited dalam memperluaskan penggunaan bekas makanan mesra alam, khususnya terhadap peniaga pasar malam dan premis restoran, di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pelaksanaannya juga diteruskan kepada peniaga di gerai MBSA dan pusat membeli belah, bagi memastikan kawasan banda raya itu bebas daripada isu pencemaran, sekali gus menjamin persekitaran hidup yang lebih sihat.


Katanya, pelbagai usaha dijalankan pihaknya termasuk memberi didikan dan bimbingan berhubung pengurangan penggunaan beg plastik serta polisterina, bermula kepada peniaga serta penjaja bazar ramadhan, sejak 2016.

“Malah, pihak kami melalui Jabatan Pelesenan turut memperkenalkan ‘Beg Hijau MBSA’ kepada peniaga bazar ramadhan sebagai pengenalan untuk menggunakan bekas makanan yang lebih bersifat mesra alam.

“Setiap peniaga dikenakan syarat supaya tidak menggunakan polisterin dan menggantikan pembungkusan makanan daripada bahan mudah urai dan berkonsepkan hijau mengikut ketetapan syarat pelesenan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Pengguna Bebas Plastik dan ‘Food Truck’ 2018, peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandaraya Seksyen 14, di sini, semalam.

Antara yang turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian; Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar; Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Selangor, Ahmad Zaki Yusof dan Ketua Pasaran dan Pendidikan World Wide Fund for Nature (WWF), Thiagarajan Nadeson.

Hee Loy Sian juga berkesempatan menyerahkan barangan kelengkapan pengendali makanan termasuk apron, topi dan bungkusan makanan mesra alam kepada pengusaha ‘food truck’.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan daripada WWF Malaysia kepada MBSA susulan dua anugerah yang diterima iaitu finalis bagi pertandingan ‘One Planet City Challenge Malaysia 2018’ dan pemenang peringkat kebangsaan untuk pertandingan ‘We Love Cities 2018’.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Disember itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan makanan, kesedaran kitar semula dan menyampaikan maklumat berkaitan hal ehwal kepenggunaan.

Antara pengisian aktiviti menarik adalah pameran dari agensi kerajaan, jualan makanan dan minuman, pertandingan mewarna dan persembahan ‘buskers’.

Sebanyak 30 ‘food truck’ dari Kelab Food Truck Selangor bersama pengusaha Food Truck Shah Alam menjayakan karnival terbabit.

Ia melibatkan penyertaan pameran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Sirim Berhad, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Universiti Selangor.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next