SELANGOR

Pertandingan Gasing Pangkah tarik penyertaan negeri lain

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 29 DIS: Pertandingan Gasing Pangkah Tradisional DUN Sementa berjaya menarik pasukan bukan sahaja negeri itu malah negeri lain antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Program, Mohd Aziz Samsudin berkata, seramai 30 pasukan berentap di pertandingan yang diadakan selama dua hari itu.

Katanya, pihaknya tidak menyangka pertandingan itu mendapat sambutan yang membanggakan walaupun hanya di peringkat DUN.

“Ini membuktikan permainan gasing pangkah ini masih wujud dan digemari di pelbagai peringkat usia.

“Pertandingan ini diadakan kali kedua, dan saya mahu ia terus dijadikan program tahunan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pertandingan Gasing Pangkah Tradisional Terbuka Selangor, di sini.

Mohd Aziz berkata, menariknya pada penganjuran tahun ini, peserta bukan sahaja terdiri daripada warga emas tetapi kanak-kanak.

“Kira tidak meletakkan kategori umur, sesiapa sahaja boleh menyertainya.

“Di kampung ini, kami melatih permainan ini kepada kanak-kanak, remaja mahupun belia yang berminat pada permainan ini sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan persatuan supaya menghidupkan kembali permainan berkenaan.

“Di Selangor, Kampung Bukit Kapar sahaja yang masih menghidupkan permainan ini, justeru, sudah tiba waktunya, permainan ini dimartabat ke peringkat lebih tinggi.

“Inisiatif ini juga supaya kita dapat menarik lebih ramai anak muda menyertai dan menghargai khazanah warisan yang kita ada,” katanya.

 


Pengarang :