GLOBALSELANGOR

Pertanian dan perikanan potensi besar pelaburan di Lombok

OLEH AFIX REDZUAN

LOMBOK, INDONESIA, 18 DIS: Pelabur dari Selangor mempunyai potensi besar untuk meneroka bidang pertanian dan perikanan di Lombok, Indonesia dengan membawa teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti hasil di sini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Lombok mempunyai hasi pertanian dan perikanan yang banyak namun masih kekurangan teknologi bagi memperkemas produk akhir hasil mereka supaya kualiti yang ditampilkan dilihat lebih menarik.

Menurutnya, industri pertanian mereka luas terutama tanaman padi, jagung dan bawang manakala tembakau pula ditanam selepas berakhirnya musim padi.

“Hasilnya tinggi tetapi mereka mempunyai masalah dari segi padi kepada beras. Peralatan mereka tidak canggih, maka kehancuran beras itu tinggi. Jadi keperluan di sini adalah proses hiliran produk

“Begitu juga perikanan, hasil mereka banyak di Pelabuhan Tanjung Luar perlukan naik taraf. Potensi tinggi kerana tanahnya subur di samping cuaca yang baik dan paling penting mesra alam,” katanya kepada SelangorKini.

Izham bersama beberapa wakil deligasi semalam meluangkan masa sehari bagi melawat Pelabuhan Tanjung Luar dan Klinik Pertanian Syngenta Learning Centre, Puyung.

Beliau berkata, prospek permodenan pertanian seperti fertigasi dan teknologi pemprosesan mempunyai potensi besar kerana Lombok mempunyai hasil yang banyak.

“Kita akan galakkan syarikat dari Selangor membina kilang di sini khususnya anak syarikat (GLC) melabur di sini termasuk dalam industri beras,” katanya.


Pengarang :