SELANGOR

Pertimbang kerjasama Institusi Pengajian Tinggi guna perpustakaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk permohonan menggunakan perpustakaan di Institusi Pengajian Tinggi sekitar Bangi kerana terdapat permintaan di kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri menyedari bahawa Bangi adalah merupakan bandar ilmu dan perpustakaan sedia ada tidak dapat menampung permintaan pengguna.

“Oleh kerana terdapat banyak Institusi pendidikan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasinonal (UNITEN), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan berhampiran pula dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM), di kawasan sekitar, jadi tiada masalah jika kerjasama dijalinkan.

“Justeru, sebarang permintaan bermanfaat lebih lagi pendidikan semestinya menjadi perhatian Kerajaan Negeri,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, rancangan untuk menaik taraf kelengkapan dan kemudahan Perpustakaan Daerah Hulu Langat yang terletak di Taman Cempaka, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, juga sudah dimasukkan dalam peruntukan menerusi Rancangan Malaysia ke 11.

“Manakala, dua buah perpustakaan daerah lain yang juga termasuk dalam peruntukan RMK-11, akan menggunakan peruntukan 2018, iaitu Perpustakaan Awam Selangor Daerah Kuala Langat dan Perpustakaan Awam Selangor Daerah Hulu Selangor.

“Sementara itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menaik taraf beberapa perpustakaan awam lain di dalam daerah Hulu Langat dengan konsep rebranding,” katanya.

Amirudin berkata, konsep rebranding untuk perpustakaan ini dilengkapi dengan pendingin hawa, WiFi percuma, bilik multimedia, bilik kanak-kanak, bilik perbincangan, surau dan tandas yang bersih.

“Selain itu, perpustakaan ini juga turut dilengkapi dengan bilik aktiviti dan bilik seminar untuk kemudahan penduduk setempat. Ini bersesuaian dengan tagline perpustakaan iaitu PPAS Rumah Keduaku atau PPAS My Second Home,” katanya.

 


Pengarang :